Sunday, January 10, 2021

 


Penggunaan beg plastik secara berleluasa membawa kesan buruk yang boleh merosakkan alam sekitar, bahkan mencacatkan pemandangan persekitaran melalui sampah-sarap yang terhasil daripada penggunaannya.

Masyarakat awam perlu sedar berkenaan masalah pencemaran alam yang berlaku di tempat masing-masing.

Sebagai orang awam kita seharusnya tidak mengharapkan pada pihak berkuasa sahaja untuk menjaga kebersihan alam sekitar dari pencemaran.Masyarakat perlu didedahkan bahawa bahan berasaskan plastik sangat sukar dihapuskan tanpa penggunaan teknologi canggih. Pembuangan plastik di merata-rata tempat boleh memberi kesan negatif terhadap alam sekitar dan  masyarakat. 


Melalui cabaran Plastic Tide Turners Challenge Badge (PTTCB) anjuran Pandu Puteri Malaysia dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia, para peserta telah diminta untuk memberi kesedaran dan mengubah sikap para peniaga bagi mengurangkan penggunaan plastik pakai buang di premis mereka. Setiap peserta perlu mengunjungi sekurang-kurangnya tiga kedai untuk menjalankan kempen ini.

Para peniaga yang terlibat telah diberi penerangan tentang bahayanya penggunaan plastik pakai buang terutamanya terhadap alam sekitar dan masyarakat. Mereka juga diberi beberapa cadangan dan beberapa cara untuk mengurangkan penggunaan plastik pakai buang ini.


Bagi pengusaha restoran, mereka boleh menggantikan penyedut minuman plastik atau straw yang sering digunakan dengan penyedut minuman yang diperbuat daripada besi. Penyedut minuman jenis besi ini boleh dicuci dan digunakan semula. 


Penyedut minuman daripada kertas juga boleh digunakan bagi menggantikan penyedut minuman plastik. Banyak kelebihan menggunakan penyedut minuman kertas ini. Antaranya ialah harganya yang murah, mudah dibawa ke mana-mana sahaja, selamat digunakan, boleh dikitar semula, mudah terurai, mesra alam sekitar dan hidupan laut serta tahan lama. 


Bagi pengusaha kedai runcit, mereka boleh menggantikan pembungkus daripada plastik dengan pembungkus yang diperbuat daripada kertas. Pembungkus dan beg yang diperbuat daripada kertas ialah seratus peratus terbiodegradasi, boleh diguna semula dan boleh dikitar semula.

                     
Selain itu, pengusaha kedai juga boleh menasihatkan para pelanggan membawa beg guna semula dari rumah. 


Untuk memberi kesedaran kepada masyarakat tentang bahayanya pencemaran plastik bukanlah sesuatu perkara yang mudah. Namun, bak kata pepatah alah bisa tegal biasa. Perkara yang sukar akan menjadi mudah jika kita sentiasa mengamalkannya. Begitulah juga dengan amalan pengurangan penggunaan plastik ini. Pada mulanya mungkin agak sukar tetapi lama-kelamaan amalan ini akan menjadi satu kebiasaan. Walaupun tidak seratus peratus namun sekurang-kurangnya ada pengurangan penggunaan plastik dalam kehidupan seharian masyarakat.

Mari kawan-kawan sertai saya amalkan 'Katakan Tidak kepada Plastik'. Saya sudah anda bila lagi ?



                   

Nur Diyanah Izzati binti Mohd Rashdan







No comments:

Post a Comment

            'Katakan Tidak kepada Plastik' telah membawa perubahan kepada ahli keluarga saya. Kami telah cuba mengurangkan penggunaa...